Lori Cuba Lari Pemeriksaan Polis, Langgar 15 Kenderaan

1853

SUBANG JAYA: Sebuah lori melanggar 15 kenderaan yang diletakkan di sekitar kawasan sebuah flat di USJ1 di sini, tengah hari tadi, apabila pemandunya cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, pemandu berusia 27 tahun itu dikatakan tidak mahu memberhentikan lori disyaki membawa muatan batu berlebihan ketika berada di Batu 9 Cheras, Kajang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Azlin Sadari, berkata anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang cuba mengejar, namun pemandunya terus memecut kenderaan berat itu hingga ke USJ1.

Beliau berkata, anggota terbabit seterusnya meminta bantuan IPD Subang Jaya yang mengerah enam kereta peronda polis (MPV) dan dua anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ke lokasi kejadian.

“Anggota MPV yang cuba menahan lori itu kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan terbabit. Namun, pemandunya masih terus memecut lori itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan melulu lelaki berkenaan menyebabkan lori dipandunya melanggar 15 kenderaan diletakkan di sekitar kawasan flat terbabit.

“Bagaimanapun, lori itu hilang kawalan sebelum terbabas di kawasan berhampiran flat berkenaan. Orang awam yang melihat kejadian itu bertindak menahan dan membelasah suspek sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.

“Anggota yang tiba di lokasi kejadian kemudian membawa suspek ke IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Video insiden lori berkenaan dikejar polis hasil rakaman saksi kejadian, turut tular dalam media sosial.

Dalam rakaman video berdurasi 37 saat itu, jelas kelihatan lori terbabit yang meletakkan bendera sebuah parti politik di bahagian hadapannya, masih memecut walaupun anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan itu.

Mohamad Azlin berkata, siasatan dan tindakan sedang diambil pihak polis atas kesalahan trafik serta jenayah sekiranya ada.

“Orang ramai dinasihat tidak mengeluarkan komen negatif berhubung kejadian itu yang tiada kena-mengena dengan politik,” katanya

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments