Lelaki nama Mat Juta Kluang diburu polis

1429

Enam pelajar lelaki bukan hanya dimarahi tanpa sebab, tetapi turut menjadi mangsa peras ugut seorang lelaki dikenali ‘Mat Juta Kluang’ membabitkan kerugian RM1,000 dalam kejadian di Pantai Bukit Keluang, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku pada 2.30 petang ketika seorang pelajar berusia 16 tahun bersama lima rakannya sedang melepak di kawasan pantai berkenaan sebelum didatangi lelaki tidak dikenali itu.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek secara tiba-tiba memarahi kumpulan pelajar itu sebelum merampas kunci motosikal mereka.

Katanya, suspek kemudian meminta wang sebanyak RM50 daripada setiap mangsa, namun kumpulan pelajar itu hanya mampu memberikan RM67.

“Sebelum beredar, suspek turut mengambil dua telefon bimbit jenis Oppo milik dua pelajar terbabit dengan kerugian dianggarkan bernilai RM1,000.

“Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek yang dikenali sebagai Mat Juta Kluang berusia 30 tahun.

Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments