Costa musnah perjuangan Arsenal, Wenger

133

MADRID: Diego Costa ‘membunuh’ peluang terakhir Arsene Wenger untuk mengucapkan selamat tinggal dengan penuh bergaya kepada Arsenal apabila gol tunggalnya membawa Atletico Madrid ke final Liga Europa, sebentar tadi.

Perlawanan ke-250 Wenger di Eropah bersama Gunners sepatutnya tidak menjadi aksi terakhirnya di pentas berkenaan tetapi ia ditamatkan dengan ketajaman penyudah Costa yang sekali lagi memberi mimpi ngeri buat pertahanan Arsenal.

Pertahanan Arsenal tampak rapuh dan gemuruh sepanjang perlawanan yang  menyaksikan kelab Inggeris itu mencatat kekalahan 0-1 di gelanggang lawan dan tersingkir dengan agregat 1-2.

Kekalahan juga bermakna ini kali kedua skuad kendalian Wenger gagal menempah tiket ke saingan Liga Juara-Juara secara berturut-turut.

Di sebalik kejayaan di pentas domestik yang agak mengagumkan, Wenger juga akan mengucapkan selamat tinggal kepada Arsenal tanpa memiliki sebarang trofi di pentas Eropah.

Pada aksi di Stadium Wanda Metropolitano itu, Arsenal kehilangan tonggak pertahanannya Laurent Koscielny di awal permainan selepas pemain Perancis itu diusung keluar padang pada minit ke-12 berikutan kecederaan.

Situasi itu turut menyaksikan Perancis terpaksa menunggu dengan gemuruh sama ada dia mampu bermain di Piala Dunia yang dijadual berlangsung kira-kira sebulan lebih daripada sekarang.

Tidak pernah tewas di gelanggang sendiri pada aksi liga sepanjang musim ini dan tidak pernah melepaskan sebarang gol sejak Januari, Atletico jelas dianggap pasukan pilihan pada perlawanan itu.

Costa yang sentiasa menghantui pertahanan Arsenal ketika beraksi bersama Chelsea sebelum ini jelas merbahaya apabila melakukan cubaan awal apabila dia berjaya melepasi Koscielny dan menjatuhkan Nacho Monreal tetapi rembatannya tersasar.

Selepas beberapa kali terselamat sekali pun tidak beraksi dengan cukup baik, penjaga gol Arsenal David Ospina akhirnya ditewaskan pada masa kecederaan babak pertama apabila tandukan lemah Granit Xhaka berjaya dirampas Antoine Griezmann yang kemudian menghantarnya kepada Costa.

Dan penyerang Sepanyol itu mengatasi Hector Bellerin sebelum dengan tenang menewaskan Ospina.

Arsenal cuba bangkit selepas rehat tetapi jaringan yang diharapkan tidak dapat dijelmakan dan selepas wisel penamat ditiup, Wenger tampak terus memasuki stadium. – AFP

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments