Zulfadli, Chun Seang dikenakan hukuman penggantungan

948

KUALA LUMPUR: Pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang digantung daripada menyertai sebarang pertandingan badminton selama 20 dan 15 tahun kerana melanggar Kod Tatatertib Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membabitkan aktiviti mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan perlawanan.

Sepanjang tempoh itu, mereka juga dilarang menyertai sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton termasuk bahagian pengurusan, kejurulatihan, pengadilan atau pembangunan.

Panel Etika Pendengaran BWF juga mengenakan denda sebanyak AS$25,000 (RM98,124) kepada Zulfadli manakala Chun Seang didenda AS$15,000 (RM58,874).

Keputusan dibuat selepas tiga panel bebas mendapati Zulfadli terbabit dengan 27 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 dan empat Kod Tatatertib 2016 Pertaruhan dan Mengatur Perlawanan.

Chun Seang pula didapati terbabit dalam 26 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 Pertaruhan dan Mengatur Perlawanan.

Panel bebas juga mendapati kedua-dua pemain berkenaan ‘sudah lama terbabit dalam kegiatan mengatur perlawanan di beberapa kejohanan’ sejak 2013 namun Zulfadli ‘dikatakan lebih lama terbabit berbanding Chun Seang’ dan ‘bukti menunjukkan dia terbabit dalam menukar empat keputusan perlawanan.’

Penggantungan bermula dari 12 Januari tahun ini iaitu tarikh di mana kedua-dua pemain dikenakan penggantungan sementara oleh BWF.

Zulfadli dan Chun Seang mempunyai hak untuk membuat rayuan di bawah Klausa 14 Prosedur Kehakiman BWF.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments