Lelaki cuba bunuh diri saman polis kerana lambat selamatkannya

605

VIRGINIA, Amerika Syarikat – Seorang lelaki yang mempunyai masalah bipolar menyaman pihak polis selepas didakwa lambat menyelamatkannya ketika dia cuba melemaskan diri di sebuah kolam renang di sini baru-baru ini.

Mateusz Fijalkowski, 24, dari Poland yang tidak tahu berenang diterima bekerja sebagai pembantu pengurus kolam di Apartmen Riverside sejak Mei 2016.

Tiga hari selepas mula bekerja, Fijalkoski diserang simptom bipolar iaitu gangguan mental buat kali pertama menyebabkan dia bertindak masuk ke dalam kolam dengan tujuan melemaskan diri.

Bagaimanapun, lelaki itu mendakwa beberapa anggota polis daripada Jabatan Polis Daerah Fairfax yang berada di sekitar kawasan tersebut menunggu terlalu lama untuk menyelamatkannya.

Melalui video yang dirakam orang awam menunjukkan Fijalkowski tenggelam di dalam air selama lebih dua minit.

“Walaupun terdapat ramai anggota polis di kawasan kolam, namun mereka tidak berbuat apa-apa untuk menghalang Fijalkowski daripada masuk ke dalam air,” kata peguamnya, Victor Glasberg kepada Mail Online.

Sebaik diselamatkan, Fijalkowski terpaksa dirawat kerana mengalami masalah paru-paru dan jantung di Institut Jantung dan Vaskular Fairfax Inova dengan kos rawatan AS$100,000 (RM392,000).

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments