Pertaruhan besar DAP calonkan Aziz Bari di Perak

14719

BEKAS pensyarah, Dr. Abdul Aziz Bari semalam disahkan sebagai calon DAP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, menjadikan beliau satu-satunya calon Melayu yang akan bertanding atas tiket DAP di Perak.

DUN Tebing Tinggi diketahui antara kubu kuat DAP di Perak. Dengan kelebihan majoriti 5,587 yang dimiliki DAP pada pilihan raya umum lalu, Abdul Aziz tidak punya masalah untuk menang selesa.

Meskipun strategi DAP meletakkan calon Melayu sememangnya sudah dijangka, tetapi keputusan memilih Abdul Aziz – seorang personaliti yang sarat menggendong kontroversi melibatkan institusi raja di Selangor –  dilihat satu pertaruhan besar.

Abdul Aziz bersama jentera DAP pada hari penamaan calon bagi kerusi DUN Tebing Tinggi semalam.

Abdul Aziz yang juga bekas pensyarah undang-undang diketahui umum tidak mempunyai rekod yang baik di negerinya sendiri, Selangor lantaran tindakannya sering melemparkan kenyataan yang dilihat mencabar institusi raja.

Beliau pernah dikecam hebat ekoran tindakannya mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja di Damansara Utama pada 2011.

Abdul Aziz juga pernah mengundang kemurkaan Sultan Selangor ekoran kenyataan kononnya akaun Majlis Agama Islam (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak diaudit.

Malah,  Abdul Aziz yang sebelum ini ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga pernah dihentam apabila secara terbuka apabila mempersoalkan hak mutlak Sultan Selangor dalam menangani krisis jawatan Menteri Besar Selangor pada 2014.

Dalam beberapa forum awam, Abdul Aziz menggunakan istilah ‘dia’ bagi Sultan Selangor sehingga menimbulkan rasa tidak senang orang Melayu dek sikap dan pendirian kerasnya terhadap raja.

Tindak-tanduknya menyebabkan Abdul Aziz pernah dilabel anti-raja sehingga ia dikatakan menjadi punca beliau ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila tewas di Parlimen Sabak Bernam, tempat kelahirannya sendiri.

Beliau sekali lagi berdepan penolakan apabila kalah teruk dalam pemilihan parti PKR pada 2014 sebelum menerima pelawaan menyertai DAP pada Julai 2015.

Aziz Bari menyertai DAP selepas membuat keputusan keluar dari PKR pada 2015.

Cubaan DAP untuk mengembangkan karier politik Abdul Aziz di Selangor tidak pernah berjaya.

Malah, Abdul Aziz pernah melalui episod memalukan apabila pencalonannya untuk sekadar menjadi Ahli Majlis Ampang Jaya atas tiket DAP juga ditolak.

Ternyata, sikapnya yang dilihat mempertikaikan hal ehwal istana telah merintangi perjalanan politik Abdul Aziz.

Dalam serba ketidaktentuan nasibnya dalam politik, DAP memberinya harapan baru dengan membawanya ke Perak untuk bertanding PRU-14 di DUN Tebing Tinggi – antara kerusi DAP yang paling selamat.

Apapun niat DAP membawa Abdul Aziz ke Perak, parti itu jelas sedang berusaha untuk memastikan seorang yang berani dan lantang terhadap institusi raja untuk berada dalam kem mereka di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

DAP tentunya mengharapkan latar belakang Abdul Aziz sebagai bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dapat membantu parti itu memadam imej anti-Islam yang melingkari pemikiran pengundi Melayu sejak sekian lama.

Percaturan DAP yang penuh risiko ini mengundang polemik kerana pencalonan individu seperti Abdul Aziz bukan sahaja mengundang sangsi pengundi Melayu, tetapi dikhuatiri akan dilihat sebagai satu bentuk provokasi terhadap institusi Raja.

Ia akan menimbulkan lebih keresahan kepada kem Pakatan Harapan di Perak apabila timbul cakap-cakap DAP akan mencalonkan pemimpinnya sebagai menteri besar jika BN berjaya dijatuhkan.

Jika pada 2008 DAP terlepas peluang merebut kerusi menteri besar kerana tidak mempunyai calon Melayu, maka Abdul Aziz dilihat mampu menjadi watak penting merealisasikan impian itu pada pilihan raya kali ini.

Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Ahmad Faizal Azumu awal-awal lagi meminta supaya DAP tidak meletakkan calon Melayu di negeri tersebut kerana ia memberi isyarat negatif kepada pengundi Melayu bahawa parti itu mahu menguasai kerajaan negeri.

Ahmad Faizal dalam temubual bersama Malaysiakini bulan lalu berkata: “Kalau anda mahu menang, kalau anda mahu lihat peralihan undi Melayu, jangan lakukannya”.

Namun pencalonan Abdul Aziz semalam membuktikan DAP sudah membuat keputusan. Walaupun pertaruhannya besar, tetapi tentu berbaloi jika ia berjaya ditukar menjadi kemenangan.

Bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

ZAILAN AHMAD
Jelapang, Ipoh, Perak

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi New Malaysian Post.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments