WhatsApp bawah 16 tahun bakal haram

395

Perkhidmatan permesejan popular WhatsApp mengharamkan pengguna bawah 16 tahun daripada menggunakan platformnya di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Buat masa ini, pengguna harus berusia sekurang-kurangnya 13 tahun, tetapi firma itu bakal mengubah peraturannya sebelum pengenalan peraturan privasi data EU baru yang bakal dikuatkuasakan pada bulan Mei ini.

Aplikasi yang dimiliki oleh Facebook itu akan meminta pengguna mengesahkan umur mereka apabila diminta untuk bersetuju dengan terma perkhidmatan baru dalam beberapa minggu akan datang.

Bagaimanapun, ia tidak menjelaskan bagaimana had umur pengguna akan disahkan secara tepat.

Peraturan Perlindungan Data Umum EU (GDPR), yang mula berkuatkuasa pada 25 Mei, akan memberi orang lebih banyak kawalan bagaimana organisasi-organisasi menggunakan maklumat peribadi pelanggan mereka.

Mereka juga berhak untuk memadamkan data peribadi mereka.

Ia juga termasuk perlindungan khusus untuk kanak-kanak daripada data peribadi mereka diperoleh untuk tujuan pemasaran atau untuk membuat profil pengguna.

WhatsApp, yang telah menghadapi kritikan atas amalan perkongsian datanya pada masa lalu, berkata langkah terbaru ini akan membantu untuk memenuhi “piawaian ketelusan yang baru” di EU.

Bagaimanapun, aplikasi itu merancang untuk mengekalkan had umur minimum 13 tahun di luar kawasan EU.

Ia juga akan membenarkan semua pengguna untuk memuat turun laporan yang memperincikan data yang diperoleh mereka sebagai sebahagian daripada terma perkhidmatannya yang baru, termasuklah jenama dan model peranti yang mereka gunakan, kenalan dan kumpulan mereka serta nombor yang disekat.

Facebook, yang juga dikritik kerana mengutip dan menyimpan data peribadi, mengambil pendekatan yang berbeza kepada pengguna muda.

Untuk mematuhi GDPR, syarikat media sosial tersebut meminta mereka yang berumur 13 hingga 15 tahun untuk mencalonkan ibu bapa atau penjaganya untuk memberikan kebenaran kepada mereka berkongsi maklumat kepada platform tersebut.

Sekiranya mereka mengingkari peraturan itu, mereka tidak dapat menggunakan versi platform yang dilindungi sepenuhnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments