Bank Robot pertama dunia dibuka di China

396

Sebuah bank membuka cawangan baharu yang dikendalikan sepenuhnya oleh robot dan ia dipercayai pertama seumpamanya di dunia.

Robot di China Construction Bank (CCB) cawangan Shanghai itu bukan sahaja akan menyambut pelanggan bahkan mereka juga mengendalikan urusan perbankan.

CCB, bank kedua terbesar di China mempunyai 360 cawangan di seluruh negara, menggunakan teknologi berkenaan bagi mengurangkan kos kakitangannya.

Menurut South China Morning Post, pelanggan disambut oleh robot berbentuk manusia yang akan menjawab soalan mereka menggunakan pengecaman suara.

Malah, cawangan itu menempatkan mesin wang automatik yang berupaya mengendalikan urusan pembukaan akaun, pemindahan wang, pertukaran mata wang, pelaburan emas dan isu pengurusan harta.

Menurut wakil bank, pengenalan sistem itu membolehkan mereka menguruskan 90 peratus urusan tunai dan transaksi bukan tunai untuk cawangan bank tradisional.

Bagi pelanggan kaya yang memerlukan khidmat manusia, satu bilik khas disediakan yang mana mereka akan berinteraksi dengan pegawai bertugas menerusi sambungan video.

He Fei, Pengkaji Kanan di Bank of Communications Shanghai berkata, bank tanpa kakitangan itu menjadi medan ujian untuk melihat pendapat awam mengenainya.

“Servis tanpa kakitangan ini boleh menyelesaikan permintaan standard dan berulang dari pelanggan yang ramai.

“Tapi pegawai bank sebenar masih diperlukan untuk khidmat nasihat profesional, untuk menguruskan hal yang rumit dan urusan harta pelanggan,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments