Wan Azizah ke Pandan, Azmin tanding di Ampang?

47

PETALING JAYA: Pilihan raya umum ke-14 mungkin menyaksikan penukaran kerusi yang ketara dalam kalangan pemimpin tertinggi PKR, dengan spekulasi mengatakan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan bertanding di kerusi Parlimen Pandan bagi menggantikan penyandangnya, Rafizi Ramli.

Pemimpin PKR juga dipercayai mencadangkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dipegang ibunya.

Sumber memberitahu FMT, ada desas-desus mengatakan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bakal beralih dari Parlimen Gombak ke Ampang yang disandang Zuraida Kamaruddin.

Zuraida sudah menyuarakan minat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.

Bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah pula sedang dipertimbangkan untuk kerusi Parlimen Petaling Jaya, dahulu dikenali sebagai Petaling Jaya Selatan.

Cadangan lain termasuk Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong akan menggantikan Tian Chua di kerusi Parlimen Batu.

“Tidak diketahui di mana Tian Chua akan bertanding jika Wong diletakkan di Batu,” kata sumber itu sambil menambah tidak jelas siapa akan dicalonkan di Gombak.

Katanya, Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar mungkin beralih ke kerusi DUN Sentosa.

Sumber itu berkata, keputusan akhir dijangka diketahui minggu depan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments