Tidak gentar dengan peluru dan ugutan

451

PUTRAJAYA: Dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis apabila menerima peluru hidup dan nota amaran berbaur ugutan yang diletakkan dalam peti surat di rumah mereka, masing-masing dalam kejadian semalam dan hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi, turut mengesahkan bahawa pegawai berkenaan bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan memegang gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C.

Beliau berkata, kedua-dua pegawai berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Selangor.

“Kami memandang serius perbuatan individu yang cuba mengugut pegawai kanan SPRM berkenaan.

“Kami juga menggesa pihak polis supaya menyiasat kes terbabit dan mengenalpasti individu yang berbuat demikian supaya tindakan sewajarnya boleh diambil mengikut lunas undang-undang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, beliau percaya perbuatan itu adalah berikutan beberapa kes berprofil tinggi yang disiasat oleh SPRM sejak kebelakangan ini.

Azam berkata, SPRM tidak akan sama sekali tunduk kepada ugutan sedemikian dan akan terus melaksanakan tugas yang diamanahkan tanpa rasa gentar.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments