Tuesday, April 24, 2018
Home POLITIK Pemansuhan Hutan Simpan: Ngeh Berniat Jahat, Cuba Hasut Kemarahan Rakyat

Pemansuhan Hutan Simpan: Ngeh Berniat Jahat, Cuba Hasut Kemarahan Rakyat

41
DALAM NEGERI

Pemansuhan Hutan Simpan: Ngeh Berniat Jahat, Cuba Hasut Kemarahan Rakyat 

IPOH: Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham didakwa berniat jahat dan cuba menimbulkan kemarahan rakyat apabila menuduh kemungkinan pemansuhan 3,847 hektar rizab hutan simpan kekal (HSK) untuk mendapat dana pilihan raya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, tuduhan itu adalah punca utama yang mendorong Ngeh membuat sidang media baru-baru ini.

“Itulah punca kepada segala sidang media yang dibuat oleh Ngeh sebab hatinya sangat rosak kerana dia syak Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir) telah menjual tanah ini kepada kroni untuk kutip duit bagi pilihan raya.

“Hatinya rosak, apa yang dia sebut dalam dua tiga hari ini, menggambarkan dia tidak matang dalam politik, dah macam budak-budak pula.

“Mengapa dia jadikan apa yang tular dalam media sosial sebagai sumber maklumat, dia ada sumber yang sah, dia boleh tanya kepada PTG (Pejabat Tanah dan Galian), dia boleh tanya kepada Jabatan Hutan,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Saarani berkata, adalah tidak benar sama sekali dakwaan Ngeh pemansuhan rizab HSK itu untuk mendapat dana pilihan raya.

“Kita tak dapat satu sen pun untuk tujuan pilihan raya dengan mewartakan tanah 3,847 hektar itu, tak ada, itu proses biasa,” tegas beliau.

Beliau menjelaskan, tanah itu selesai diukur oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) pada hujung tahun 2017, dikuti oleh proses biasa PTG untuk membuat pewartaan pada 15 Februari 2018.

Beliau menambah, tanah-tanah tersebut di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Pondok Tanjung dan Hutan Simpan Bukit Larut bagi tujuan Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok (RTB) dan rizab Orang Asli.

Di samping itu, ujarnya, RTB juga diberikan kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Majlis Agama Islam serta badan-badan yang membiayai pembangunan sekolah Cina dan Tamil.

Mengenai dakwaan Ngeh kononnya masa yang diambil terlalu lama untuk mewartakan tanah itu, Saarani menjelaskan, terdapat dua eksesais yang dilakukan iaitu mengukur dan membanci yang siap pada 2013.

Katanya, ia kemudiannya dibentangkan semula kepada Exco untuk memutuskan keluasan sebenar yang dimansuh, untuk diberikan kepada peneroka.

Tambahnya, apabila didapati bukan keseluruhan 11,045 ekar tanah itu telah diteroka,tetapi hanya 9,506 ekar, mesyuarat Exco pada 2013 memutuskan untuk mengurangkan pemansuhan itu hanya kepada 9,506 ekar.

“Setelah ia dipinda, keluasan telah dikurangkan, maka Jabatan Ukur dan Pemetaan kena ukur semula yang siap hujung 2017. Lepas itu PTG buat proses pewartaan dan pada 15 Februari, ia diwartakan,” tambahnya.

Beliau menasihatkan Ngeh supaya berhenti mengunakan isu pemansuhan HSK itu untuk mengelirukan dan menimbulkan kemarahan rakyat.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments