Nabil insaf lepas tengok video pasal kiamat

    758

    Pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad mengakui kini sedang cuba mendalami ilmu agama dengan lebih dalam di samping mendekati mereka yang ada ilmu dalam bidang berkenaan.

    Jelas pengacara program bual bicara hiburan sensasi MeleTOP itu, keinginannya untuk berubah ke arah kebaikan hadir selepas dia menonton satu rakaman video yang bercerita mengenai hari kiamat.

    Ujarnya, selepas menonton video ceramah agama mengenai hari kiamat itu, Nabil berikhtiar untuk berubah menjadi seorang manusia yang lebih baik secara perlahan-lahan.

    “Pada mulanya, saya menonton video ceramah agama mengenai hari kiamat. Dalam video yang disampaikan penceramah bernama Ustaz Zulkifli itu, ia berkisar mengenai tanda akhir zaman dan sebagainya.

    “Perlahan-lahan, saya mula sedar bahawa usia dunia kita sudah tidak lama. Semua yang kita ada sekarang hanyalah pinjaman semata-mata,” katanya memetik portal HMetro Online.

    Bagaimanapun kata Nabil, dia sedar anggapan masyarakat bahawa kerjayanya dalam bidang seni akan menyukarkan untuk dia sentiasa istiqamah dalam penghijrahannya.

    Jelasnya, dia sentiasa meletakkan kariernya dan masa lapangnya dalam dua kategori yang berbeza bagi memastikan dia dapat beribadah di luar waktu kerjanya.

    “Kerja adalah kerja kerana dari situ, saya menjana pendapatan. Tapi di luar waktu kerja, itu antara saya dengan Allah,” ujarnya

    Nabil ditemui media ketika mengadakan majlis ulang tahun sempena 10 tahun dia menapak dalam industri hiburan & doa kesyukuran bersama isterinya, baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Nabil mengakui sangat gembira dan bersyukur mendengar perkhabaran daripada isterinya Nazirah Ayub yang meluahkan hasrat untuk bertudung dan menutup aurat.

    Namun, Nabil berkata dia sering berpesan kepada isterinya itu supaya ikhlas menutup aurat dan bukannya memakai untuk untuk melariskan perniagaan atau bagi tujuan lain.

    “Zira ada memaklumkan kepada saya mengenai keinginan untuk bertudung. Saya pesan, jangan bertudung untuk tujuan lain seperti perniagaan dan sebagainya.

    “Saya mohon kepada semua agar mendoakan kami sekeluarga supaya menemui jalan mudah untuk mendekati ilmu agama di samping menjalani tugas sebagai hamba-Nya,”jelasnya.

    Sementara itu, menerusi laporan sebuah akhbar tempatan lain, Nabil mengakui sering hubungi pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal Biyajid bagi mendapatkan rujukan mengenai pelbagai perkara, termasuklah isu rumah tangga.

    Jelas Nabil, perkara yang membimbangkannya adalah isu berkaitan keruntuhan rumah tangga yang boleh menyebabkan kehidupan anak-anak kecil berubah ke arah negatif.

    “Ustaz Don pernah memberitahu saya bahawa 70 ke 80 peratus pesalah juvana adalah mereka yang datang daripada keluarga di mana ibu bapa yang sudah bercerai.

    “Jadi secara langsung saya terfikir, takkanlah saya mahu anak saya bermasalah hanya kerana disebabkan saya bermasalah.”

    Justeru, Nabil ingin sentiasa memastikan persekitaran yang baik untuk anak-anaknya membesar dan tidak mahu merosakkan apa yang dimilikinya sekarang.

    Nabil dan Nazirah Ayub, 30, berkahwin pada 30 September 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan bernama Naira Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 3 tahun

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments