Mahu rujuk janda semula motif lelaki mati ditembak di Gerik

290

IPOH: Kematian seorang lelaki dengan tiga kesan tembakan di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik-Kupang, Gerik, pada 7 April lalu dipercayai berpunca akibat cemburu.

Motif pembunuhan itu diketahui selepas polis menahan dua lelaki dan seorang wanita yang juga bekas isteri mangsa di sekitar daerah itu pada Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mayat Kamarulzaman Safri, 38, yang menjalankan perniagaan sewa lori ditemui mati dengan tiga kesan tembakan di kepala, dada dan perut dalam keadaan lengkap berpakaian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata suspek seorang lelaki dan wanita yang ditahan itu adalah pasangan kekasih, manakala mangsa adalah bekas suami suspek wanita berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal dijalankan polis mendapati pasangan kekasih berusia 41 dan 38 tahun itu terbabit dalam kes berkenaan selepas kedua-dua mereka membuat pengakuan ketika disoal siasat, manakala seorang lagi lelaki ditahan hanya untuk membantu siasatan.

“Semalam, suspek lelaki dan perempuan memberitahu apa yang berlaku dan membawa sepasukan polis pergi ke rumah emak suspek lelaki di Kampung Jong, Gerik dan menunjukkan pistol digunakan untuk menembak mangsa.

“Pistol jenis ‘Colts Convenent’ itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan turut ditemui 35 butir peluru yang masih disimpan, manakala dua telefon bimbit mangsa ditemui di bawah sebuah jambatan di Gerik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Yahya berkata, mangsa yang sudah bercerai dengan suspek wanita pada Disember lalu dipercayai masih mahu merujuk kembali hubungan mereka, menyebabkan suspek lelaki yang juga kekasih wanita itu berang dan membunuh mangsa.

Katanya, suspek lelaki bekerja penjawat awam itu sudah berkahwin dan menjalinkan hubungan cinta dengan bekas isteri mangsa yang juga seorang kontraktor di sekitar daerah Gerik.

“Semua suspek kini direman tujuh hari bermula 11 April lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Dengan pengakuan kedua-dua suspek itu, polis yakin berjaya menyelesaikan kes pembunuhan itu dan kertas siasatan akan dirujuk untuk pendakwaan,” katanya.

Pada 7 April lalu, BH melaporkan hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui tiga kelongsong peluru dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki berhampiran mayat mangsa.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments