Lelaki mati ditikam gunting, mayat ditemui di tepi lebuhraya

37

Seorang lelaki warga Myanmar ditemui terbaring berlumuran darah di tepi Lebuhraya Salor- Pasir Mas, dekat Kota Bharu, dipercayai ditikam dengan gunting beberapa kali.

Pada kejadian jam 11.45 pagi, mangsa berusia 42 tahun itu ditemui oleh orang ramai yang kemudian memaklumkannya kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pasir Mas (HPM).

Difahamkan, lelaki itu ditikam di sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di kawasan yang jaraknya kira-kira 150 meter dari tempat dia ditemui.

Dia dikatakan bergelut dengan beberapa lelaki lain di rumah berkenaan, sebelum ditikam.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Motif dan punca kejadian masih disiasat. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di talian 09-7752200 atau di balai polis berdekatan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments