‘Saya boleh bersara dengan gembira’

140

 

GOLD COAST: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar meluahkan rasa bangganya terhadap pencapaian atlet negara di Sukan Komanwel yang melabuhkan tirainya hari ini.

Kontinjen negara mengakhiri buruan pingat di Gold Coast dengan meraih tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa untuk menduduki tangga ke-12 keseluruhan.

“Kami bermula dengan baik dalam acara angkat berat dan mengakhirinya dengan dua pingat emas dalam acara badminton,” kata beliau yang turut berbangga dengan kejayaan Datuk Lee Chong Wei dan gandingan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan yang menambah dua emas, hari ini.

“Saya berbangga dengan mereka yang memenangi emas, perak dan gangsa kali ini dan saya gembira dengan pencapaian Malaysia yang meraih tujuh emas.”

Menurutnya, biarpun gagal berada dalam kelompok 10 terbaik, jumlah pingat dimenangi juga wajar diambil kira.

“Jika anda lihat kedudukan kami menghampiri 10 tangga teratas dan dengan 24 pingat keseluruhan, ia juga sama pentingnya,” kata Tunku Imran.

“Saya tahu ada di antara atlet menunjukkan peningkatan dan ada yang tidak bernasib baik seperti penerjun kita, namun itulah sukan. Anda tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini, itu yang menariknya.

“Kini saya boleh bersara dengan gembira, hasil kejayaan seperti ini.”

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments