Najib terima surat penghargaan Masjid Al-Aqsa

456

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak menerima surat penghargaan Masjid Al-Aqsa di atas sokongan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan membela rakyat Palestin dan membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis.

Surat berkenaan disampaikan oleh Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Sa’eed Sabri kepada Perdana Menteri pada majlis sambutan Israk Mikraj Peringkat Kebangsaan 1439 Hijrah/2018 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. di sini, malam ini.

Sheikh Dr Ekrima, yang juga bekas Mufti Palestin, dalam ucapannya, berkata, pihaknya amat menghargai sokongan dan bantuan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan dalam membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada rejim Zionis.

“Ingatan rakyat dan kerajaan Malaysia kepada peristiwa Israk Mikraj merupakan

lambang kecintaan kepada Palestin dan Masjid Al-Aqsa. Kisah Israk Mikraj dirakamkan dalam al-Quran dan ini menunjukkan Al-Aqsa mempunyai hubungan rapat dengan langit dan umat Islam.

“Bagimanapun, dalam kita mengingati peristiwa Israk Mikraj hari ini, kita tidak harus lupa bahawa Al-Aqsa kini masih di bawah cengkaman rejim Zionis,” katanya.

Sementara itu, Najib, dalam ucapannya, berkata beliau mahukan sambutan ini menjadi acara tahunan di peringkat persekutuan dan negeri.

Penganjuran sambutan Israk dan Mikraj peringkat kebangsaan merupakan bukti komitmen Malaysia dalam memperjuangkan Masjid Al-Aqsa sebagai tempat ketiga paling suci bagi umat Islam, katanya.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dalam kenyataannya, berkata, majlis ini merupakan kali pertama sambutan Israk Mikraj diadakan di peringkat kebangsaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments