Muhyiddin bayangkan bertanding DUN Gambir

592

 

MUAR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini membayangkan kemungkinan beliau bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu turut mengesahkan akan juga bertanding bagi kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan dengan lebih lanjut sama ada akan mempertahankan kerusi parlimen Pagoh atau bertanding bagi kerusi Parlimen lain.

“Saya ada minta pandangan pengundi di sini bolehkah jika saya bertanding dan mereka kata akan bagi sokongan. Saya fikir DUN ini (Gambir) yang saya boleh bertanding.

“Ini kerusi bagus untuk bertanding. Saya (akan) juga bertanding bagi kerusi parlimen,” kata beliau tanpa mengulas lebih lanjut kepada pemberita selepas berucap di satu majlis di Gambir, dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata sokongan untuk bertanding di DUN itu juga berdasarkan perbincangan dengan pemimpin parti komponen Pakatan Harapan yang lain.

Pada PRU13, DUN Gambir dimenangi oleh Datuk M Asojan dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 310 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Dr Mahfodz Mohamed (Pas) dan dua calon Bebas iaitu Mohd Zan Abu dan Yunus Mustakim.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments