‘Kau nak lari sangat kan…’

2062

 

Cubaan seorang lelaki melarikan diri selepas dia merempuh sebuah kereta gagal apabila kereta BMW 325i dipandunya terbabas sebelum dia dibelasah orang awam dalam kejadian di Jalan Miri-Pujut di Miri, semalam.

Dalam kejadian pada jam 7 malam itu, lelaki berusia 30-an terbabit dipercayai memandu dari arah Kuala Baram menuju ke pusat bandar.

Bagaimanapun, kenderaannya merempuh kereta Perodua Myvi di hadapannya mengakibatkan kereta berkenaan terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Sumber berkata, pemandu Perodua Myvi iaitu lelaki berusia 20-an itu terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.

Bagaimanapun, pemandu BMW itu terus memecut meninggalkan mangsa dengan niat untuk melarikan diri.

“Orang awam yang melihat kejadian itu kemudiannya bertindak mengejar lelaki terbabit mengakibatkan kereta dipandunya terbabas di bahu jalan.

“Berang dengan tindakannya yang cuba melarikan diri, lelaki terbabit dibelasah orang awam,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol kemudiannya dikejarkan ke Hospital Miri selepas mengalami kecederaan.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments