Budak hingusan 13 tahun mahu bertanding jawatan gabenor

332

 

VERMONT, Amerika Syarikat – Seorang budak lelaki berusia 13 tahun menjadi tajuk berita apabila memutuskan untuk bertanding sebagai gabenor bandar itu baru-baru ini.

Ethan Sonneborn yang merupakan pelajar sekolah gred lapan akan berkempen pada pemilihan gabenor yang akan diadakan pada Ogos ini.

Dia dijangka berhadapan dengan dua lagi calon untuk jawatan itu.

Ethan mengambil keputusan untuk bertanding memandangkan tidak terdapat peraturan yang mengehadkan umur bagi calon yang mahu bertanding jawatan gabenor di Vermont.

Remaja itu bakal berkempen dengan mengetengahkan isu mengenai kawalan senjata dan akan berusaha untuk menggubal undang-undang mengenai perkara itu sekiranya menang.

Ethan berkata, umur tidak sepatutnya menjadi satu isu besar yang menidakkan haknya untuk bertanding.

“Apa yang penting, perspektif saya yang perlu menjadi keutamaan,” katanya.

Menurutnya, dia menghormati budaya memburu dengan menggunakan senjata yang menjadi amalan masyarakat di wilayah New England yang mana Vermont adalah sebahagian daripadanya.

Namun katanya, dia memilih untuk memperjuangkan penggubalan undang-undang bagi kawalan senjata di negeri itu selepas melihat semakin ramai pelajar sekolah terlibat dengan kes membawa senjata dan tembakan di sekolah.

“Selalu terjadi kelompok politik yang menyatakan mereka tidak membincangkan isu ini di dalam politik. Itu yang saya mahu ubah.

“Saya harap tidak perlu berlaku lagi tragedi dan saya mahu perkara ini dibawa ke peringkat kebangsaan. Ini merupakan satu peluang untuk saya membuat perubahan,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments