Bilik paling seram dengan gangguan lembaga untuk disewa RM1,900 semalam

671

 

 

CALIFORNIA, Amerika Syarikat – Bilik B340 yang dikatakan berhantu di dalam kapal persiaran Queen Mary bakal disewakan kepada pengunjung yang berminat merasai pengalaman tinggal di dalam bilik paling menyeramkan di dalam kapal itu.

Menurut pihak pengurusan kapal persiaran Queen Mary yang telah ditamatkan perkhidmatannya itu, kapal yang telah ditukarkan menjadi sebuah hotel itu akan menyewakan bilik seram tersebut pada kadar RM1,900 (AS$499) semalam.

“Kali terakhir bilik berhantu ini disewa kepada tetamu adalah pada tahun 1980-an.

“Selama berdekad-dekad kami menerima beribu tetamu yang mahu menginap di bilik ini dan selepas 30 tahun, kami gembira untuk menerima mereka semula,” kata pengurus kapal persiaran Queen Mary, Stephen Sowards.

Bilik itu menyediakan kelengkapan dan kemudahan yang sama seperti hotel lain. Namun apa yang menarik, terdapat papan Ouija, kad tarot, bola kristal dan peralatan memburu hantu di dalam laci.

Kisah bilik berhantu itu sebelum ini pernah dipaparkan dalam rancangan Ghost Hunters menerusi saluran SYFY dan rancangan bersiri, Most Haunted.

Aktiviti paranormal paling aktif dilaporkan berlaku di dalam bilik itu sehinggalah kapal tersebut melakukan perjalanan terakhir di lautan pada 1967.

Tetamu yang menginap di dalam bilik B340 itu pula pernah melaporkan aktiviti luar biasa termasuk lampu dan air paip terbuka dan tutup dengan sendiri, selain gangguan semasa tidur.

Malah ada yang melaporkan mereka pernah ternampak kelibat lembaga hitam berdiri di sebelah katil ketika mereka sedang tidur.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments