UPSR pun belum lepas, gadis bawah umur sudah pandai berpacaran

678

 

KULIM: Tiga murid perempuan bawah umur ditahan bersama dua remaja lelaki berusia 17 dan 20 tahun dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Kilang Lama di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik menahan sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik disoal, salah seorang murid perempuan yang bersekolah di daerah itu mengaku baru mengenali teman lelakinya yang berusia 17 tahun, beberapa hari lalu melalui laman sosial, sebelum diajak berjumpa di Taman Tasek Kulim, malam tadi.

Murid berusia 12 tahun itu turut mengakui membohongi ibu bapanya dengan alasan tidur di rumah rakan untuk mengulangkaji pelajaran.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan itu tidak mempunyai lesen selain membawa kanak-kanak bawah umur,” ujar Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ahmad Nasir Jaafar.

Polis kemudian menghubungi ibu bapa ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dan memberi sesi kaunseling sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Dua remaja lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kami juga ingin menasihatkan ibu bapa agar peka dan mengawasi anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam jenayah sosial,” tambahnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments