Terjatuh dilanggar Wira, penunggang maut digilis Vios pula

1133

 

MACHANG – Seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 47.2 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai (Kampung Gosong) meninggal dunia selepas gagal diselamatkan di Zon Merah Hospital Machang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Machang, Dzulkifli Abdul Ghani berkata, mangsa, Nik Fazoli Nik Ismail, 34 disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada jam 2.15 pagi.

Terdahulu, katanya, motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Krai ke Machang dipercayai dilanggar sebuah kereta Jenis Proton Wira sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dalam kejadian jam 10.40 malam

“Selepas itu, datang sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Vios dari arah yang sama dan tidak sempat mengelak lalu tergilis mangsa yang berada di atas jalan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia kira-kira tiga jam selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambah Dzulkifli, pihaknya masih mengesan kenderaan jenis Proton Wira tersebut untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, mangsa yang bekerja sebagai buruh beralamat di Taman Jambu Lawar, Batu 30, dekat sini.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments