Berjabat tangan rai kejayaan, 2 pencuri jadi terkenal di media sosial

1143

NEW YORK 13 April – Dua orang pencuri di Amerika Syarikat (AS) tidak semena-mena menjadi ‘selebriti’ di media sosial apabila gelagat mereka berjabat tangan bagi meraikan kejayaan melarikan sebuah televisyen paparan kristal cecair (LCD) dari sebuah rumah yang mereka pecah masuk mula tular, baru-baru ini.

Mail Online melaporkan, rakaman insiden yang berlaku di rumah contoh Ashton Woods dekat Drover View Trail di utara Fort Worth, Texas pada 2 April lalu mula disiarkan polis bandar itu bagi mengesan suspek.

Berdasarkan rakaman itu, kedua-dua pencuri berkenaan dirakam mengucapkan tahniah antara satu sama lain selepas berjaya menurunkan televisyen terbabit dari dinding rumah tersebut tanpa menyedari gelagat mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Pencuri itu dipercayai memasuki bilik berkenaan kira-kira pukul 5.27 pagi dan bergelut untuk menanggalkan perkakas terbabit dari dinding namun peralatan tersebut kemudian berjaya dikeluarkan dengan bantuan rakannya.

Menurut polis Forth Worth, televisyen berkenaan dicuri dari bilik tidur di tingkat atas rumah berkenaan sebelum suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta sedan berwarna putih.

“Adakah anda kenal pencuri televisyen ini,” tulis polis dalam status Facebook mereka beserta video kejadian tersebut.

“Mereka masuk ke sebuah rumah contoh, pergi ke tingkat atas dan mencuri televisyen LCD dan berjabat tangan selepas mencuri televisyen itu. Kekal bergaya kalian,” tambah polis lagi.

Mereka yang mengenali suspek tersbeut boleh menghubungi polis di talian 817-3923183.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments