Bapa sanggup campak bayi protes rumah setinggan dirobohkan

755

 

 

PORT ELIZABETH – Seorang lelaki ditahan atas tuduhan cuba membunuh kerana mencampak bayinya dari atas bumbung rumah setinggan di kawasan Bandar Kwadwesi, Afrika Selatan.

Menurut jurucakap polis, Kapten Andree Beetge, bapa berusia 38 tahun itu memanjat bumbung sambil mendukung bayi perempuan berusia enam bulan sebagai usaha menghalang rumah mereka daripada dirobohkan.

Situasi genting itu memaksa sepasukan polis bersiap sedia sementara seorang lagi anggota memanjat bumbung rumah bagi menenangkan lelaki itu yang mengugut akan mencampak bayinya sekiranya pihak berkuasa enggan berundur.

Cubaan pihak berkuasa memujuk lelaki itu gagal dan dia nekad mencampak bayinya.

Anak kecil itu bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota polis yang sedia menunggu di bawah.

Akibat tindakannya, lelaki itu ditahan dan diserahkan kepada Unit Keganasan Domestik, Perlindungan Kanak-kanak dan Penderaan Seksual untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, usaha 150 penunjuk perasaan membaling batu dan membakar tayar bagi menghalang operasi perobohan 90 rumah setinggan yang dibina secara haram di kawasan Joe Slovo itu menemui kegagalan apabila pihak berkuasa tetap melaksanakan tindakan mereka.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments