Rakyat Thai mula sambut Songkran rai tahun baru

287

 

BANGKOK – Mulai hari ini, rakyat Thailand merayakan ‘Songkran’ (Pesta Air) bagi menyambut kedatangan tahun Baharu Thai, manakala pihak berkuasa pula mengharapkan kempen keselamatan jalan rayanya sepanjang tempoh cuti panjang bersempena sambutan itu akan berjaya mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya.

Selalunya, jumlah kemalangan jalan raya melonjak dengan ketara sepanjang sambutan Songkran selama seminggu itu, yang juga dikenali sebagai “Tujuh Hari Maut” apabila berjuta-juta rakyat Thailand membanjiri jalan dan lebuh raya untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Statistik yang dikumpul agensi kerajaan menunjukkan antara 300 hingga 400 rakyat negara ini terkorban setiap tahun akibat kemalangan jalan raya, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa jalan raya di Thailand adalah antara yang paling berbahaya di dunia.

Dua hari menjelang bermulanya sambutan Songkran, 99 orang telah menemui ajal dan lebih 1,000 cedera.

Sementara itu, polis dan pihak berkuasa tempatan di Bangkok meningkatkan langkah keselamatan apabila berpuluh ribu orang, termasuk pelancong asing, dijangka memenuhi jalan raya utama di bandar raya ini, mulai hari ini hingga Ahad, bagi menyambut pesta itu.

Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan ramai semasa sambutan itu di ibu kota Thailand ini ialah Khao San Road, tempat yang menjadi pilihan utama pelancong beg galas, Silom Road dan di sekitar kawasan beli-belah Ratchaprasong.

Memandangkan kira-kira 30,000 orang dijangka menyambut pesta itu di Khao San Road, maka kira-kira 1,000 anggota polis telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Polis juga mengingatkan mereka yang menyambut Songkran supaya tidak memakai pakaian ‘terlalu mendedahkan’ dan tidak menggunakan pistol atau senapang air bertekanan tinggi, manakala mereka yang didapati menjual alat permainan itu boleh dihukum penjara atau dikenakan denda yang tinggi.

Polis Pelancong pula akan mengerahkan kira-kira 5,000 anggotanya dan sukarelawan bagi membantu pelancong semasa sambutan Songkran, kata timbalan ketuanya Mej. Jen Surachet Hakpal.

Beliau berkata lebih tiga juta rakyat Thailand dan kira-kira sejuta pelancong asing akan terlibat dengan perjalanan di negara ini sepanjang tiga hari sambutan itu, hingga Ahad ini, manakala Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand menganggarkan perbelanjaan pelancongan mencapai jumlah kira-kira 19.8 bilion Baht (kira-kira RM2.5 bilion).

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments