Kami ‘nikah gantung’ – Bienda

    614

     

    PUTRAJAYA: Selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Bienda mendedahkan dia dan suami merahsiakan tarikh dan butiran pernikahan mereka kerana enggan melayan soalan remeh atau disalah tafsir pelbagai pihak.

    Bienda atau nama penuhnya, Nor Razlinda Razali, 32, memberitahu dia dan suami, Kamarul Zariman Abdul Rahman bernikah pada 10 Oktober 2008 dengan majlis resepsi diadakan setahun kemudian.

    “Saya dan suami memang tak suka menyusahkan keluarga. Jadi, untuk majlis perkahwinan ini, kami guna sendiri duit simpanan yang ada. Kami dahulukan apa yang wajib dan tak mahu membazir kerana keutamaan saya ketika itu adalah untuk membeli rumah.

    “Takkanlah saya nak beritahu kami ‘nikah gantung’ sebab nak simpan duit. Mesti akan timbul pelbagai prasangka buruk hanya kerana saya artis.

    “Itupun ada suara-suara nakal yang mendakwa kami bernikah di sempadan walhal kami disatukan di sebuah masjid di Gombak berdekatan dengan rumah ibu saya,” kata Bienda kepada BH Online.

    Penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Penantian ini ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Jaga Hati selain memperkenalkan dirinya sebagai wajah koleksi Aidilfitri jenama pakaian Carissa di sini, malam tadi.

    Anak kepada penyanyi dangdut Sheeda ini turut meminta maaf kepada mana-mana pihak yang selama ini terasa hati dengan tindakannya itu.

    “Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf kepada semua pihak yang selama ini tertanya-tanya bilakah tarikh pernikahan kami.

    “Bagaimanapun selain keluarga terdekat, ada juga media yang rapat dengan saya tahu cerita sebenar. Mereka faham dan menghormati pendirian saya,” ujarnya.

    Bienda mendirikan rumah tangga dengan seorang penerbit dan pengarah, Kamarul Zariman atau lebih dikenali sebagai Boy.

    Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata perempuan berusia enam dan empat tahun.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments