Joe anggap sindiran dalam lagu kebebasan bersuara

    208

    Elemen sindiran yang sering dilihat dalam sesebuah lagu bergenre hip hop dianggap perkara biasa oleh penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow malah merasakan ia merupakan sesuatu yang baik.

    Pada pendapatnya sendiri, dia sememangnya secara terbuka menerima cara tersebut dan menganggap ianya sebagai salah satu bentuk kebebasan bersuara dalam meluahkan sesuatu hasrat.

    “Bagus, kerana kebebasan untuk bersuara. Saya lebih suka dipanggil depan-depan daripada dihina dari belakang,” katanya.

    Selain itu, perkara tersebut juga dilihat sinonim dengan budaya hip hop antarabangsa di mana penyanyi-penyanyi rap di negara Barat lebih terkenal dengan lagu yang menyindir individu lain.

    Penyanyi lagu Drop ini mengluas mengenai beberapa buah lagu irama hip hop yang dihasilkan baru-baru oleh ini dilihat seakan menghentam satu sama lain dan menyindir pihak tertentu.

    Ini selepas kecoh di media sosial bulan lagu apabila lagu Mambang yang dihasilkan Altimet dikatakan menyindir bekas pasangan Joe dalam kumpulan Too Phat, Malique.

    Tidak terhenti di situ, para netizen di laman sosial pula menimbulkan spekulasi bahawa lagu bertajuk Gong Nekara dendangan Kmy Kmo dan Luca Sickta merupakan balasan Malique terhadap sindiran Altimet.

    Ini disebabkan kedua-dua penyanyi rap yang meningkat naik itu merupakan anak didik kepada Malique dan kononnya lagu tersebut dikeluarkan mereka bagi mempertahankan pula Malique sendiri.

    Sementara itu, Joe menjelaskan bahawa setiap penyanyi dan komposer mempunyai hak untuk menulis lirik mengikut keinginan dan selera mereka.

    Namun, ia semua bergantung kepada usaha mereka bagi memastikan lagu yang dihasilkan sememangnya berkuaiti atau pun sebaliknya.

     

    “Artis buat karya, seperti seorang pelukis, ada yang lukis bunga dan ada yang lukis ribut petir. Jadi kalau saya nak rap dengan ribut petir, itu hak saya,” jelasnya.

    Maksud Joe sebenarnya adalah setiap individu mempunyai pilihan untuk berkarya bagi tujuan dan impian masing-masing memandangkan mereka berhak untuk melakukan sesuatu disukai mereka.

    Joe ditemui pihak media ketika melancarkan single terbaharu Sampai Jadi di Hotel New World Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

    Mengulas mengenai single terbaharunya itu, Joe berkata dia menghasilkan lagu itu sebagai sebuah inspirasi kepada sesiapa yang mendengar supaya lebih bersemangat dalam melakukan sesuatu kerja.

    “Saya nak lagu yang boleh naikkan semangat pendengar. Mungkin ada yang tengah bertungkus-lumus menyiapkan kerja, jadi bila dengar lagu ini mereka dapat lebih inspirasi.

    “Kebanyakan peminat saya merupakan golongan pelajar dan belia, semoga dengan mendengar lagu ini akan meningkatkan lagi motivasi dan inilah lagu yang sesuai untuk mereka,” ujarnya.

    Pada majlis tersebut juga, Joe memberitahu bahawa dia akan melancarkan muzik video rasmi lagu berkenaan di laman YouTube pada Jumaat ini.

     

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments