Aziz Bari calon MB Perak dari DAP?

7215
Aziz Bari

Profesor Dr Abdul Aziz Bari bukanlah nama baru dalam bidang politik.

Beliau pernah menyertai PKR dan bertanding di Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) namun tewas di tangan BN dengan majoriti 1,644 undi.

Pakar perlembagaan itu kemudiannya meninggalkan PKR dan menyertai DAP pada 2015 kerana baginya parti itu memberi lebih ruang untuknya memperluaskan bakat dan kepakarannya boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Menjelang PRU14, terdapat uar-uar mengatakan tokoh itu satu-satunya nama calon Melayu dari DAP yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tebing Tinggi.

Mengakui sudah melakukan usaha kempen di kawasan itu, Aziz berkata beliau kini menunggu pengumuman rasmi dari DAP berkaitan senarai penuh calon di perak.

“Tak pasti lagi saya bertanding tapi dah buat persiapan (di Tebing Tinggi). Kita masih lagi bergantung kepada Jawatankuasa pusat DAP, itu yang menentukannya atau tidak.

“Tapi di sesebuah tempat kita tahu mungkin ada yang dah turun berkempen setahun, enam bulan jadi macam pelancaran dan gimik semua dah siap, tunggu hari pengumuman calon sahaja,” lapor Malaysiakini.

Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini melahirkan keyakinan untuk merampas Perak daripada BN pada PRU14.

Pengerusi HARAPAN Perak, Ahmad Faizal Azumu sebelum ini meminta supaya DAP tidak meletakkan calon Melayu di negeri itu kerana parti tersebut tidak popular dalam kalangan pengundi Melayu.

HARAPAN juga sepakat mahu memenangi majoriti daripada 59 kerusi DUN melalui pengagihan kerusi negeri yang akan ditandingi oleh empat parti dalam gabungan berkenaan.

Pada masa ini, DAP mempunyai 18 wakil di DUN Perak, PKR lima, AMANAH satu sementara PAS, yang berpisah daripada pakatan pembangkang itu hampir tiga tahun lalu, mempunyai empat kerusi.

BN menguasai DUN dengan 31 kerusi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments