Arsenal berpeluh mara separuh akhir

220

MOSCOW: Arsenal terselamat sebelum mara ke peringkat empat terakhir Liga Europa selepas bangkit untuk mengikat kelab Russia, CSKA Moscow 2-2 pada aksi suku akhir kedua, awal pagi tadi.

Fedor Chalov dan Kirill Nababkin meledak gol buat CSKA bagi memastikan Arsenal ‘berpeluh’ di ibu negara Russia itu namun jaringan lewat Danny Welbeck dan Aaron Ramsey kembali meletakkan kelab Inggeris itu ke landasan.

Arsenal menang dengan keputusan agregat 6-3.

Tanpa kelibat Granit Xhaka dan Henrikh Mkhitaryan, pengurus Gunners Arsene Wenger melakukan sedikit perubahan dengan menurunkan Mohamed Elneny dan Welbeck berbanding pasukan yang mencatat kemenangan 4-1 pada aksi pertama, minggu lalu.

Menjulang trofi Liga Europa akan menyelamatkan Arsenal musim ini apabila mereka sudah pun tersisih daripada kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris tetapi aksi di CSKA Arena tidak begitu meyakinkan.

Dikuatkan dengan sokongan lebih 29,000 peminat, tuan rumah mendahului enam minit sebelum babak pertama berakhir menerusi jaringan Fedor Chalov selepas Petr Cech gagal menyelamatkan cubaan awal Kirill Nababkin menerusi tandukan.

 

 

Harapan CSKA makin menyala apabila Nababkin menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-50 selepas Cech sekali lagi gagal menampan kemas rembatan jarak jauh Alexander Golovin.

Tetapi pelawat menamatkan sebarang keraguan mengenai kemampuan mereka ketika permainan berbaki 15 minit apabila gerakan Welbeck bersama Elneny menghasilkan jaringan.

Elneny kemudian menjadi penyumbang buat jaringan Ramsey – yang turut meledak dua gol pada aksi pertama – untuk Arsenal menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

“Mungkin kami sedikit terkejut dengan kepantasan permainan dan kami tidak begitu terburu-buru pada babak pertama.

“Kami sedikit terjerut tetapi tindak balas kami bagus,” kata Wenger kepada BT Sport selepas Arsenal melangkah ke separuh akhir kejohanan Eropah sejak 2009.

“Ia sepatutnya berlaku setiap tahun. Ia tidak pernah cukup. Kamu boleh melihatnya pada minggu ini di Eropah di mana ada begitu banyak kejutan dan kamu perlu fokus sepenuhnya, jadi kami akan bersedia dan melihat siapa yang akan kami lawan.

“Semua orang bercakap mengenai Atletico Madrid. Mereka nampak amat kuat di atas kertas.”

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments