Fon kepala yang boleh bersihkan tahi telinga

53

 

WASHINGTON 11 April – Sebuah syarikat berpangkalan di Seattle telah mencipta fon kepala istimewa yang boleh membersihkan tahi telinga dalam tempoh 35 saat.

Menurut portal Mail Online, fon kepala canggih yang dihasilkan oleh syarikat SafKan dengan kerjasama beberapa doktor itu dapat menggantikan putik kapas berbahaya dan lawatan mahal ke klinik pakar.

Peranti berkenaan boleh membersihkan kedua belah telinga secara serentak dengan menyuntik campuran hidrogen peroksida ke dalam telinga untuk melonggarkan tahi yang tersumbat sebelum menyedutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif SafKan, Sihal Diwan berkata, teknologi terbaharu itu menjadikan pembersihan telinga lebih mudah dan selamat selain menjimatkan masa serta wang pengguna melalui prosedur yang lazim.

“Masalah tahi telinga berlebihan dan keras menjejaskan beratus-ratus juta orang di seluruh dunia, tetapi inovasi penjagaan telinga terlalu kecil dalam tempoh hampir dua ratus tahun.

“Fon ‘OtoSet’ kami akan membantu doktor perubatan merawat lebih banyak pesakit, dan pada masa yang sama mengurangkan kos buruh serta rujukan yang tidak perlu kepada pakar,” katanya.

SafKan baru-baru ini memperoleh dana AS$1 juta (RM3.87 juta) untuk melancarkan penggunaan alat tersebut di Pusat Perubatan Universiti Washington, Pusat Perubatan Stanford, Cedars-Sinai dan Pusat Perubatan Saint John.

Harga alat berkenaan masih belum ditentukan dan Diwan berkata versi yang akan dijual terus kepada pengguna juga sedang dibangunkan.

Diwan berkata, pihaknya berharap versi pengguna itu akan mengurangkan penggunaan putik kapas yang boleh merengsakan kulit dan menyebabkan jangkitan bakteria pada gegendang telinga.

Menurut Akademi Otolaringologi Amerika Syarikat (AS), satu daripada 10 kanak-kanak, satu daripada 20 orang dewasa dan satu dalam tiga pesakit geriatrik mempunyai masalah tahi telinga berlebihan atau tersumbat.

Pakar-pakar perubatan di AS melakukan lebih daripada 12 juta prosedur pembuangan tahi telinga setiap tahun dengan memasukkan air ke dalam telinga menggunakan jarum suntikan.

Prosedur tersebut telah berlaku sejak 1821 tetapi tidak terlalu tepat serta cekap dan tidak memberi keselesaan kepada pesakit.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments