Patung lilin SRK jadi tarikan popular pengunjung

206

TUMPUAN… Patung lilin aktor Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan atau juga disebut sebagai SRK, secara rasmi mula ditampilkan di Madame Tussauds di New Delhi, India pada Rabu minggu lalu.

Menurut laporan portal berita tempatan India.com, arca pelakon popular berkenaan dengan gaya tangan terbuka mendapat perhatian daripada ramai pengunjung wanita sejak hari pertama patung lilin tersebut dirasmikan.

SRK ‘palsu’ berkenaan malahan anggun mengenakan busana kemas dan sangat mirip dengan Shah Rukh Khan sendiri sehingga ramai pelawat pada mulanya salah faham apabila menyangka arca itu sebagai artis tersebut.

“Raja Romantik, Baadshah Bollywood telah pun masuk ke Tussauds Delhi,” umum pihak pengurusan Madame Tussauds di sini menerusi akaun sosial Twitter sehingga menjadi tular dalam kalangan netizen tempatan sendiri.

“Selain Shah Rukh, kami bakal melancarkan beberapa figura popular termasuk antarabangsa dalam masa terdekat,” kata Pengurus Besar Merlin Entertainments India Pvt. Ltd., Anshul Jain yang dipetik laman sesawang India Times.

 

 

SRK merupakan patung lilin ke-24 dipamerkan selepas kapten pasukan kriket terkenal India, Virat Kohli pada akhir bulan lalu. Semua arca dibuat di ibu pejabat muzium itu di London, Britain yang melibatkan lebih 200 ukiran tepat.

Sementara itu, Shah Rukh juga memberi respons dengan mengucapkan terima kasih dan meluahkan kegembiraan dapat ‘berada’ di New Delhi sambil menemui ramai peminatnya yang sanggup beratur panjang untuk sesi swafoto.

Patung lilin SRK di Madame Tussauds New Delhi ini bukanlah arca pertama yang pernah dihasilkan. Sebelum ini, patung lilin figura yang berusia 52 itu pernah direka bentuk dan ditempatkan di Madame Tussauds London.

Muzium yang diasaskan oleh legenda pengukir Perancis, Marie Tussaud di London pada 1835 itu kini memiliki cawangan di 24 buah bandar raya di seluruh dunia manakala di New Delhi, ia sudah dibuka sejak 1 Disember 2017.

Antara dipamerkan di sini ialah Perdana Menteri, Narendra Modi, selain selebriti iaitu Amitabh Bachchan, Kim Kardashian, Leonardo DiCaprio, Scarlett Johansson, Angelina Jolie dan Tom Cruise.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments