Model Playboy mahu dedah hubungan dengan Trump

34

NEW YORK – Bekas model Playboy yang mendakwa ada hubungan sulit dengan Presiden Donald Trump memfailkan saman di California semalam memohon dibebaskan daripada perjanjian undang-undang yang mahukan beliau berdiam diri.

Karen McDougal ialah wanita kedua bulan ini mencabar perjanjian tidak mendedahkan dakwaan hubungan luar nikah dengan Trump.

Beliau memfailkan saman itu di Mahkamah Agung Los Angeles menentang penerbitan majalah National Enquirer, American Media Inc, yang membayar AS$150,000 (RM587,000) pada 2016 untuk berdiam diri.

Saman McDougal difailkan pada hari sama hakim di New York mengarahkan Trump perlu berhadapan saman fitnah oleh pengusaha restoran California, Summer Zervos, yang menuduh presiden itu mengganggunya secara seksual selepas beliau muncul dalam bekas siri realiti televisyen ‘The Apprentice’.

Majalah New Yorker, bulan lalu melaporkan dakwaan hubungan sulit McDougal dan tindakan American Media membayar kepadanya untuk mendapatkan hak cerita itu, yang tidak pernah disiarkan.

Ketua American Media, David Pecker, menggambarkan Trump sebagai ‘rakan peribadi’.

Dalam saman, McDougal mendakwa beliau dan Trump menjalin ‘hubungan romantik’ luar nikah selama 10 bulan pada 2006 dan 2007, tempoh yang bertindih dengan dakwaan hubungan sulit Trump dengan bintang filem lucah, Stormy Daniels.

Isteri Trump, Melania, melahirkan anak bongsu presiden itu, Barron, pada 2006.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments