Ranking jatuh, TMJ lepas jawatan?

60

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali lagi berdepan tamparan hebat selepas Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan peletakan jawatan malam tadi susulan kejatuhan ranking skuad kebangsaan yang menjunam tiga lagi anak tangga.

Meskipun sebelum ini Tunku Ismail pernah menyatakan hasrat untuk berundur sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun akan datang, namun perkembangan terbaharu menerusi akaun Johor Southern Tigers memberi petanda betapa beliau serius untuk melepaskan jawatannya sebagai orang nombor satu persatuan itu.

“Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh tiga anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar! Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan.

“Terima kasih untuk segala galanya dan ia telah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bolasepak Malaysia. Selamat maju jaya.

“Kepada seluruh Bangsa Johor yang saya sayangi dan juga kepada para penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di seluruh dunia serta isteri dan anak-anak saya..Daddy’s home!,” katanya menerusi akaun terbabit, sebentar tadi.

Dalam masa sama, Tunku Ismail mengakui sudah tiba masanya untuk beliau melepaskan jawatannya terutamanya selepas berjaya menstrukturkan semula persatuan itu termasuklah mengubah senario bola sepak tempatan sehingga menjadi lebih berdaya saing.

“Sepanjang saya menjadi Presiden FAM, saya telah memperbetulkan struktur bola sepak tanah air, menarik para penaja untuk menyumbang kepada bola sepak negara dan menyediakan pelan jangka panjang untuk bola sepak negara seperti melakukan kerjasama bersama La Liga.

“Saya juga telah memperjuangkan hak penyiaran untuk kesemua pasukan bertanding di Liga Malaysia bagi meningkatkan kestabilan kewangan.

“Ini adalah satu sejarah dalam bola sepak tanah air apabila buat pertama kalinya setiap pasukan bertanding telah menerima sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta setahun untuk wang hak penyiaran dimana setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada kerajaan.

“Dalam pada itu, skuad B-23, B-19 dan B-16 telah berjaya melakar sejarah buat pertama kalinya mewakili negara dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments