Viral wanita diganggu 4 lelaki naik BMW, pergi ke balai tapi polis tak mahu bantu

76

 

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan mendakwa anggota polis di sebuah balai di Cheras tidak menolongnya walaupun dia berdekatan balai dan membunyikan hon kereta apabila 4 pemuda menghalang laluannya.

Dalam video 5 minit di Facebook, wanita itu, yang dikenali sebagai Kogee Sinniah mendakwa, dia dalam perjalanan pulang selepas mengambil anak dari latihan pada 10.00 malam sebelum perasan dia diekori sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta jenis BMW.

Bimbangkan keselamatan diri dan anaknya, Kogee menghubungi polis untuk melaporkan situasi itu dan kemudian mengambil keputusan untuk memandu terus ke balai polis.

Ketika berhenti di lampu isyarat yang dikatakan berhampiran balai polis, dia mendakwa kereta BMW itu “menghalang” keretanya.

“Saya membunyikan hon selama 5 minit dan walaupun saya berada tidak jauh daripada balai, tiada siapa datang membantu saya.”

BMW itu akhirnya berlalu pergi dan Kogee kemudian pergi ke balai polis.

Apa yang mengejutkannya, dia mendakwa anggota polis di situ bertanya adakah dia yang membunyikan hon.

Dia mendakwa anggota polis itu tidak membenarkan dia memandu masuk ke kawasan balai.

“Apa maksudnya? Dia terdengar seseorang dalam kesusahan dan memerlukan bantuan dan tidak seorang pun datang memeriksa keadaan saya.

“Lelaki di dalam kereta itu boleh mencederakan saya; mereka mungkin mempunyai apa-apa senjata.

“Polis hanya 50 meter dari situ tetapi mereka tidak keluar memeriksa keadaan saya.”

Lebih menyedihkan, Kogee mendakwa anggota polis itu menegurnya supaya bercakap dengan “cara baik”.

Kumpulan lelaki dengan BMW itu kemudian memandu ke balai itu dan polis yang bercakap dengannya pergi ke kereta itu dan bercakap dengan mereka.

Selepas itu, Kogee diberitahu kumpulan lelaki itu marah kerana dia memasuki laluan mereka semasa memandu.

Dalam klip video itu, Kogee menggesa pengguna internet berkongsi dan “menularkan” ceritanya, dia dilihat menangis dan berkata dia “hilang kata-kata” dan “tidak pernah merasa tidak selamat seperti ini” seumur hidupnya.

3 ditangkap

Dalam perkembangan terbaru, Kogee berterima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan mereka. Beliau berkata kejadian berlaku di Balai Polis Alam Damai, Cheras dan beliau membuat laporan polis di Balai Polis Taman Maluri.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata 3 lelaki, berusia dalam lingkungan 18 tahun, ditangkap untuk siasatan bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Beliau juga berkata siasatan dalaman sedang dijalankan dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang kesalahan di pihak anggota bertugas.

Mazlan berkata semasa pengadu sampai pos kawalan Balai Polis Alam Damai, “telah berlaku salah faham yang mengakibatkan pengadu merasakan dirinya tidak dibenarkan masuk ke kawasan balai oleh anggota bertugas.”

Tidak lama selepas itu, kenderaan yang mengekori pengadu turut datang ke balai dan mendakwa pengadu nyaris melanggar kereta mereka.

Dalam tempoh itu, pihak balai membenarkan pengadu masuk ke kawasan balai serta menasihati beliau untuk membuat laporan polis.

“Polis memahami wanita berkenaan dalam keadaan ‘distress’ (bimbang) dan cuba mendapatkan maklumat lanjut untuk membantu. Bagaimanapun, beliau telah beredar dari perkarangan balai.

“Sewajarnya, wanita berkenaan tidak patut merasa tidak selamat kerana beliau telah berada dalam kawasan balai polis,” kata Mazlan.

Polis meminta kerjasama orang ramai supaya membuat spekulasi dan tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa maklumat sahih.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments