Trump pecat Setiausaha Negara, ambil Bos CIA

42

 

WASHINGTON DC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa berkata beliau sudah menggantikan Setiausaha Negara, Rex Tillerson dengan Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA), Mike Pompeo.

Tillerson sebenarnya baru mendarat semula di sini hari ini selepas melakukan lawatan ke beberapa negara Afrika, dan beberapa jam kemudian Trump mengumumkan menerusi Twitter bahawa diplomat utamanya itu disingkirkan.

Kedua-dua tokoh itu sebelum ini terbabit dalam perbalahan awam.

Dalam pengumuman menerusi Twitter itu, Trump juga mengumumkan pemilihan timbalan pengarah CIA, Gina Haspel, sebagai pengganti Pompeo di agensi perisikan itu.

Pemecatan itu mencerminkan perubahan kakitangan terbesar dalam kabinet Trump setakat ini dan mengakhiri ketegangan berbulan-bulan lamanya antara presiden Republican itu dengan Tillerson, mantan ketua eksekutif Exxon Mobil berusia 65 tahun.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih berkata Trump meminta Tillerson melepaskan jawatan pada Jumaat tetapi tidak mahu mengumumkannya semasa mengadakan kunjungan ke Afrika.

Pegawai tersebut berkata Trump bekerja rapat dengan Pompeo, seorang mantan anggota kongres dari Kansas yang dilihat sebagai setia dalam pentadbiran, dan mahukan beliau menyandang jawatan itu sebelum rundingan yang dirancangkan antara presiden AS itu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un serta rundingan perdagangan.

Trump dan Tillerson, yang tiada mempunyai sebarang pengalaman diplomatik atau politik sebelum menjadi Setiausaha Negara, tidak sehaluan mengenai banyak isu berkenaan dasar, termasuk mengenai Korea Utara dan Rusia.

Pada Isnin, Tillerson menyelar hebat Rusia berhubung percubaan bunuh terhadap seorang mantan ejen perisik dan anak perempuannya di England, sekali gus menuduh Moscow selepas Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders tidak berbuat demikian.

Tillerson dilaporkan tidak tahu sebab musabab beliau dipecat dan ia tidak dinyatakan kepada beliau, menurut seorang pembantunya.

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments