Tak tahan nak buang air, Ramos tinggalkan padang

38

Tidak kira apa yang anda sedang lakukan, ada keperluan yang datang secara tiba-tiba dan memang perlu segera ditunaikan oleh seseorang setiap kali ia hadir.

Situasi itulah yang dialami oleh kapten kelab Real Madrid, Sergio Ramos apabila dia terpaksa menunaikan ‘hajat’nya ketika perlawanan pasukannya menentang Eibar, pada Sabtu lalu.

Penyokong yang menyaksikan perlawanan tersebut nyata berasa pelik apabila Ramos berlari keluar padang dan masuk ke bilik persalinan secara tiba-tiba.

Melalui video yang tersebar di laman sosial, kamera di tepi padang berjaya merakamkan saat Ramos meminta izin pengadil perlawanan, Jose Luis Munuera Montero untuk meninggalkan perlawanan buat sementara waktu.

Video berkenaan kemudian menunjukkan reaksi jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane yang nyata turut bingung dengan keadaan tersebut apatah lagi ia menyebabkan pasukannya perlu bermain dengan 10 orang buat seketika.

 

 

Kamera kemudian mendapatkan reaksi pemain-pemain di bangku simpanan yang dapat melihat sisi lucu keadaan tersebut.

Ramos meninggalkan perlawanan tersebut pada minit ke-73 perlawanan sebelum kembali semula ke padang lima minit kemudian.

 

 

Ketika Ramos berada di dalam bilik persalinan, kelihatan beberapa staf kejurulatihan Real Madrid turut pergi menjenguknya di bilik persalinan bagi memastikan Ramos berada dalam keadaan baik.

Selepas selesai urusannya, Ramos kembali ke padang seperti tiada apa-apa yang berlaku dan kembali ke posisi pertahanannya.

Perlawanan tersebut berkesudahan 2-1 memihak Real Madrid dengan kedua-dua gol dijaringkan pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo.

 

 

Real Madrid kini menduduki tangga ketiga La Liga dengan mengutip 57 mata setelah 28 perlawanan dan tidak berpeluang mengekalkan kejuaraan mereka apabila ketika ini berada 15 mata di belakang Barcelona.

Setelah tamat perlawanan, Zidane mengesahkan bahawa Ramos sememangnya terpaksa membuang air dan bukan disebabkan perkara-perkara lain.

“Dia terpaksa membuang air. Ramos hanya ke tandas dan kemudiannya kembali, tiada apa-apa helah di belakangnya,” ujarnya sambil ketawa mendengar keadaan itu.

Sejurus tamat perlawanan, Ramos ada memuat naik sebuah Tweet mengenai insiden itu dengan menulis secara berseloroh bahawa dia terpaksa menyahut panggilan alam.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments