Surat tawaran anugerah ‘Datuk’ disahkan palsu

23

SHAH ALAM – Dewan di-Raja Selangor hari ini memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang surat tawaran penganugerahan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada individu bernama Goh Boon Leong.

Setiausahanya, Hanafisah Jais berkata berikutan itu, beliau telah membuat laporan polis ke atas individu terbabit atas dakwaan pemalsuan surat berkenaan yang kononnya telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Surat palsu berkenaan juga mengandungi beberapa fakta tidak benar termasuk menggunakan jata negeri Selangor yang salah serta nama dan tandatangan Setiausaha Dewan di-Raja Selangor yang palsu.

“Perbuatan ini adalah satu jenayah penipuan yang amat serius dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai, menjejaskan nama baik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta mencemarkan institusi diraja Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu Hanafisah berharap orang ramai mengambil maklum mengenai perkara itu dan mengelak daripada terpedaya dengan cubaan individu tertentu yang melakukan penipuan demi kepentingan peribadi mereka.

Beliau turut menggesa orang ramai untuk mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang keraguan membabitkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments