Suami meringkuk dalam penjara, isteri sambung legasi jual dadah

22

 

MARUDI: Peniaga kedai runcit dikesan meneruskan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini selepas ditinggalkan suaminya yang kini meringkuk dalam penjara.

Wanita berusia 30 tahun itu dipercayai menjadikan kedai runcitnya di Kampung Kayan, Long Lama, di sini, untuk penagih mendapatkan bekalan syabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif, berkata suami wanita itu ditahan polis di kawasan sama Januari lalu.

Katanya, hasil risikan mendapati suspek bersama dua lagi lelaki masing-masing berusia 43 tahun dipercayai mengedar dadah di kawasan berkenaan, sejak awal bulan lalu.

“Aktiviti haram itu diteruskan wanita berkenaan kerana pulangan yang lumayan berikutan harga syabu di kawasan terpencil boleh meningkat sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran,” katanya di sini, hari ini.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kayan, jam 3.30 petang semalam.

Sahar berkata, hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan menemui satu bekas makanan yang mempunyai 30 tiub serbuk kristal dipercayai syabu bernilai RM9,000.

Katanya, bekalan dadah yang sudah siap dibungkus itu dipercayai akan dijual kepada penagih di Marudi dan kawasan berhampiran dengan harga mencecah RM250 untuk satu gram.

“Hasil ujian air kencing ke atas semua suspek disahkan positif methamphetamine dan mereka kini ditahan di lokap Balai Polis Sentral Miri untuk siasatan lanjut.

“Kami percaya suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada pengedar lain di Miri, namun siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian pengedaran itu sedang giat dijalankan,” katanya.

Semua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments