Pemilik tergamam motor Yamaha Y80 pun kena curi

99

 

SEGAMAT – Seorang lelaki di Jalan Buloh Kasap, di sini, berputih mata selepas motosikal yang diletakkan di luar rumahnya dicuri kira-kira jam 3 petang, 9 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, ketika kejadian mangsa meninggalkan motosikal Yamaha Y80 miliknya di luar rumah dalam keadaan tidak berkunci.

“Kira-kira jam 3.30 petang, mangsa terdengar motosikalnya dihidupkan dan dibawa lari sebelum mendapati motosikalnya telah hilang.

“Mangsa menganggarkan jumlah kerugian yang dialami kira-kira RM500 dan ini menunjukkan, pencuri tidak memilih motosikal sama ada motosikal baharu atau lama,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kecuaian pemilik juga turut membawa kepada kes kecurian motosikal seperti tidak mengunci motosikal mereka dan tidak menggunakan kunci tambahan apabila meletakkan motosikal mereka di kawasan sunyi.

Katanya, pemilik motosikal juga disarankan supaya menggunakan kunci tambahan berkualiti atau mempunyai bunyi penggera bagi mengurangkan risiko kecurian selain memanfaatkan rantai keselamatan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pencuri ini sebenarnya ada di mana-mana dan hanya menunggu peluang dan ruang atas kecuaian kita,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments