Wanita mati ditikam 28 kali lepas ajak teman lelaki kahwin

124

 

SHAH ALAM: Seorang wanita warganegara Indonesia maut dipercayai akibat ditikam bertubi-tubi selepas mengajak teman lelaki yang baru dikenali tujuh bulan lalu untuk berkahwin, dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bukit Jelutong, di sini Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu, mayat mangsa berusia 38 tahun ditemui dengan 28 kesan tikaman di leher, tengkuk, perut dan belakang badannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah oleh jirannya yang kebetulan melalui rumah sewa mangsa.

“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah di Shah Alam ditikam menggunakan pisau dapur yang turut ditemui di tempat kejadian.

‎”Siasatan awal mendapati berlaku pergelutan antara mangsa dan teman lelakinya sebelum kejadian.

‎”‎Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang juga teman lelaki mangsa dua jam selepas menerima laporan di Seksyen 13, Shah Alam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam di sini, hari ini.

‎Baharuddin memaklumkan, suspek yang bekerja sebagai kontraktor pendawaian elektrik itu difahamkan mempunyai masalah mental tetapi pihaknya masih menunggu pengesahan daripada pihak hospital.

‎Beliau berkata, suspek ditahan reman sehingga 17 Mac ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments