UTC Perlis muncul pertama tawar kaunter sehenti

48

KANGAR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis yang menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung dalam lawatan seharinya ke negeri ini.

UTC Perlis yang terletak di Kampung Sena di sini telah beroperasi sejak 23 Oktober tahun lepas dengan menyediakan perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk manfaat rakyat Perlis dan Kedah.

Dalam ucapannya, Najib berkata perasmian UTC ke-19 di negara ini, yang dibina dengan kos RM35.5 juta itu merupakan antara konsep revolusi perkhidmatan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.

“Bayangkan, hanya 10 minggu sahaja untuk menyiapkan UTC Perlis ini. Ia satu pencapaian yang cukup membanggakan selain tempatnya yang begitu strategik berdekatan pasar borong dan kawasan lot-lot kedai.

“Melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kita gunakan cara yang lebih kreatif dalam menyampaikan perkhidmatan kerajaan. Kita tidak pentingkan output sahaja, tetapi juga hasilnya,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

UTC Perlis juga adalah pertama di negara ini yang menawarkan operasi sehenti 1Serve iaitu satu kaunter boleh menyediakan perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan sekali gus menjimatkan masa pelanggan.

Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Jelas perdana menteri, segala usaha kerajaan termasuk penyediaan UTC perlu bersifat inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana individu dalam mengecapi nikmat pembangunan dan segala jenis bantuan kerajaan.

“Kita mesti pastikan bahawa setiap wilayah dan negeri, dari Perlis hingga ke Sabah, adalah merupakan negeri-negeri yang mendapat kesan begitu positif dari segi pembangunan dan sebarang program yang kita lakukan,” tambahnya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments