Penyakit baharu TMJ nak ‘membazir’

39

 

KUALA LUMPUR: Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan  tiada perancangan mencari jurulatih baharu buat masa ini, sebaliknya bersedia berbelanja besar untuk mendapatkan pemain import lebih hebat pada sesi perpindahan pemain kedua, Mei depan.

Tunku Ismail berkata, penolong jurulatih Raul Longhi yang mengambil alih tugas selepas Ulisses Morais meletakkan jawatan pada 25 Februari lalu berjaya melaksanakan tugas dengan baik.

“Beliau (Morais) paling sesuai kepada falsafah dan polisi JDT. Malah, saya amat berpuas hati dengan Raul. Pemain juga selesa dengan beliau. Tidak akan ada jurulatih baharu,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, Johor Southern Tigers.

Di bawah kendalian Longhi, JDT berjaya menduduki takhta Liga Super meskipun prestasi mereka dalam saingan Piala AFC kurang memberangsangkan.

Ramai pihak melihat persembahan JDT musim ini masih kurang meyakinkan, tambahan ketiadaan pemain import Argentina, Jorge Pereyra Diaz yang ‘melarikan’ diri bulan lalu serta keputusan mengambil semula Luciano Figueroa yang keluar daripada persaraan turut menjadi pertikaian.

Menurut Tunku Ismail, beliau mengakui kesilapannya yang tidak mahu berbelanja tahun ini, namun memberi jaminan akan memperbaiki semula kelemahan pasukan.

“Saya silap bila buat keputusan untuk merendah diri dan berjimat cermat tahun ini. Beli pemain lama yang kononnya bakal mudah untuk buat pasukan.

“Penyakit baharu saya sekarang adalah saya nak ‘membazir’. Oleh itu saya dah sediakan dana untuk membawa masuk pemain yang hebat. Saya nak beli pemain mahal. Buat masa ini ada 5 pemain import dalam ‘short list’ kita. Saya tak suka kalah. Tak kena dengan jiwa kita.

“Saya tahu JDT sekarang tengah susah, saya tahu JDT sedang berhempas pulas. Saya tahu JDT tengah bersedih. Tetapi saya tahu November nanti kita akan bermain bunga api,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments