Peniaga kuih melecur teruk jatuh dalam kuali minyak panas

31

 

ALOR SETAR – Seorang wanita warga emas melecur pada belakang badan selepas terjatuh ke dalam kuali berisi minyak panas di rumahnya di Taman Wira di sini pada awal bulan ini.

Kejadian pukul 6.50 pagi, 3 Mac lalu itu berlaku ketika Siti Basira Sarajol, 66, sedang menggoreng kuih keria menggunakan dapur yang diletakkan di atas lantai rumah.

Mengikut menantunya, Amir Mustaffa, 47, ibu mertuanya itu dikatakan berasa pening ketika mahu berdiri sebelum hilang imbangan lalu terjatuh ke dalam kuali tersebut.

“Dalam keadaan sakit, ibu mertua saya mendapatkan pertolongan anaknya, Mohd. Fairoz Abdullah, 41, sebelum dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan,” kata beliau semalam.

Kata Amir, ibu mertuanya kemudian dibenarkan pulang dan diminta membuat rawatan susulan untuk mencuci kesan lecur pada hari seterusnya.

“Bagaimanapun, pada hari kedua, ibu mertua saya berasa sesak nafas dan dikejarkan semula ke HSB sebelum dimasukkan ke Unit Kebakaran bagi rawatan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, luka akibat melecur pada belakang, pinggang, punggung dan pahanya mengambil masa yang lama untuk pulih kerana jangkitan kuman selain ibu mertuanya merupakan pesakit kencing manis.

“Ibu mertua saya membuat kuih keria dan cucur badak untuk dijual di gerai-gerai berhampiran rumah,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments