Penagih dadah mohon dilepaskan bimbang isteri cantik diganggu orang lain

43

 

“Saya mohon dilepaskan tuan, kesian dengan isteri, saya takut jika dia diganggu orang lain sebab dia cantik,” rayu seorang lelaki berusia 30-an yang ditahan dalam operasi bersepadu dilancarkan polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK ) di sekitar Jempol, Jumaat lalu.

Penagih dadah itu turut mendakwa dia insaf dan berjanji tidak akan mengambil dadah lagi serta mahu menjaga anak dan isteri dengan baik jika diberi peluang dan tidak ditangkap.

Bagaimanapun, rayuannya tidak diendahkan anggota polis dan AADK yang melakukan serbuan itu kerana jelas suspek berada dalam keadaan khayal di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, suspek yang sudah tiga tahun menagih dadah itu mendakwa mahu meninggalkan kegiatannya itu, namun dipengaruhi rakannya.

Katanya, suspek mengakui mengambil dadah ketika di luar rumah dan menyembunyikan kegiatannya itu daripada ahli keluarga termasuk isteri.

“Lelaki itu antara 24 penagih berjaya ditangkap dan dadah jenis syabu seberat 0.41 gram (g) serta heroin seberat 1.06g dirampas.

“Manakala 10 lagi penagih termasuk sepasang suami isteri ditangkap di rumah sepanjang 17 jam ops dijalankan bermula dari jam 12 tengah malam Jumaat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AADK Negeri Sembilan Nazira Sadiron berkata, serbuan dilakukan ke atas ke sarang penagihan dadah di ladang kelapa sawit Felda Palong 9, 10 dan 11 di Jelebu.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas intipan susulan menerima maklumat daripada orang ramai berhubung kegiatan kumpulan penagih dadah menjadikan lokasi berkenaan sebagai ‘port’ melepas gian.

“Ops Sarang di ladang itu dilakukan jam 9 malam Jumaat lalu, namun pada awalnya anggota serbuan mendapati tiada sesiapa di situ.

“Kesabaran 35 anggota AADK itu akhirnya berbaloi apabila 25 penagih termasuk pasangan suami isteri diberkas jam 11 pagi esoknya selepas hampir 14 jam menunggu.

“Seramai lapan suspek diserahkan kepada pihak polis manakala 17 lagi disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah,” katanya.

Beliau berkata, pada operasi sama di sekitar Rembau pula, 11 individu disaring dan mendapati enam daripada mereka ditahan di Pedas, Chembong serta Kota kerana positif dadah.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments