Lelaki Nigeria maut terjatuh tingkat 13 kondominium

36

 

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Nigeria maut selepas terjatuh dari tingkat 13 sebuah kondominium di Desa Aman Puri, Gombak, semalam ketika dipercayai cuba melarikan diri daripada polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata ketika kejadian, polis melakukan serbuan ekoran laporan seorang wanita berusia 58 tahun yang kerugian sebanyak RM13,200 akibat ​​​​​​kes penipuan ‘parcel scam’.

Beliau berkata dalam serbuan di kondominium itu pada 12.30 tengah malam, polis menahan seorang lelaki warga Nigeria dan seorang wanita rakyat Filipina sebelum menyerbu sebuah lagi unit di kondominium berkenaan, kira-kira sejam selepas itu.

“Polis menahan seorang lelaki warga Nigeria dan seorang wanita warga Filipina, namun seorang lagi lelaki warga Nigeria yang berada di dalam rumah tersebut cuba melarikan diri dan dipercayai terjun dari tingkat 13 kondominium,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas tujuh kad debit, lapan telefon bimbit dan lima komputer riba.

Hasil siasatan polis mendapati tiga suspek menggunakan pas pelajar manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial dan kesemua mereka yang berumur lingkungan 30 hingga 34 tahun direman sehingga 24 Mac bagi membantu siasatan, katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes penipuan itu, Ali berkata mangsa mengenali suspek melalui media sosial sebelum lelaki terbabit mendakwa telah menghantar bungkusan hadiah kepada mangsa, namun ditahan Jabatan Kastam.

Beliau berkata suspek kemudian memujuk mangsa membuat bayaran sebanyak RM13,200 melalui beberapa transaksi bank sebagai bayaran pelepasan kepada pihak Kastam bagi hadiah itu.

Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis pada Januari lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan statistik pada 2016 sehingga awal tahun ini, pihak IPD Gombak telah membuka sebanyak 84 kertas siasatan berhubung kes ‘parcel scam’ dengan nilai kerugian sebanyak RM531,660.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments