Hukum tarian panama jatuh haram tapi wajib jika…

29

ALAHAI… Selepas seluruh dunia tular dengan Gangnam Style dan Baby Shark sehingga menjadi fenomena global, kini giliran Panama Dance atau Tarian Panama mencetuskan sensasi tersendiri.

Ia menjadi ‘kegilaan’ masyarakat termasuk umat Islam di Malaysia malahan dipopularkan beberapa organisasi dan selebriti popular berlumba-lumba memuat naik video aksi tarian itu secara beramai-ramai dalam kalangan mereka.

Bagaimanapun beberapa tokoh agamawan tempatan menyifatkan hukum tarian itu adalah haram dilakukan kerana membabitkan percampuran bebas lelaki dan perempuan bukan mahram apatah lagi dikongsi menerusi media sosial.

Antaranya Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad yang mendakwa tindakan berkongsi persembahan itu melalui laman sosial juga haram kerana menunjukkan susuk tubuh wanita yang sepatutnya hanya untuk mahram.

“Mungkin ada sesetengah itu hendak menggunakan sebagai rujukan melakukan senam robik di dalam bilik mereka, namun masih tidak menghalalkan kita untuk sebar secara terbuka wanita menutup aurat yang berjoget sebegitu.

“Mereka yang hendak buat tarian itu sepatutnya janganlah dirakam, dimuat naik dan usah pula bangga dikongsi ke media sosial. Jangan biarkan bukan mahram melihat susuk tubuh anda berlenggang-lenggok sedemikian rupa.

“Jaga maruah dan jaga aib anda sebagai seorang Muslimah,” kata Mohd. Yusof ketika dihubungi oleh sebuah portal berita tempatan bagi mengulas isu Tarian Panama yang tular hangat menerusi laman sosial pada ketika ini.

Tarian Panama tersebut bukan sahaja dilakukan individu malah telah ‘berjangkit’ kepada agensi kerajaan dan syarikat swasta tempatan yang seolah-olah bersaing sengit menunjukkan ‘kehebatan’ aksi masing-masing.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman turut menasihati orang ramai terutama generasi muda agar tidak mengajak masyarakat dan terikut-ikut dengan trend tarian unik dari luar negara tersebut.

Kata beliau lagi, orang ramai jangan bersikap terlalu liberal dalam sesuatu perkara asing dan hendaklah sentiasa mengikut amalan sunnah Rasulullah SAW termasuk konteks seni hiburan semasa yang wajar patuh syariah.

 

 

“Sekiranya kita lihat mereka yang gemar muat naik video itu, kapsyen disertakan pastinya seperti mahu mengajak orang lain pula cuba untuk membuat tarian sama iaitu bercampur bebas antara penari lelaki dan perempuan.

“Kalau kita buat benda haram, jangan mengajak orang lain buat benda yang sama. Biarlah buat trend yang sama-sama mendapat pahala, lagi pun Islam itu mudah tetapi jangan bermudah-mudahkan,” tegas Abdul Rahman.

Dalam pada Imam Muda Fakhrul dipetik portal Astro Awani turut sependapat dengan menjelaskan “Menari ini banyak hukum, wajib, harus dan haram. Itupun kalau cara tarian dan tempat yang tidak menimbulkan fitnah.”

Katanya yang dikongsi melalui akaun Facebook rasminya, hukum boleh jatuh wajib jika si suami suruh isterinya menari, tetapi harus pula sekiranya seorang diri atau sama-sama kawan sama satu jantina, atau sesama mahram.

Sementara ia dianggap sebagai haram pula kalau menari dengan bukan mahram sama ada berdua atau beramai-ramai. Beliau menjawab sedemikian ekoran ada orang yang bertanya kepadanya di manakah haramnya tarian itu.

Fakhrul menjelaskan ada sebab hukum tarian itu jatuh haram: “Orang kata pulak, ‘haram tang mana pulak ustaz oi’, tuu yang kamu dok lenggok badan, pusing-pusing punggung, lompat terselak kain-kain tu tak jelas ke haramnya?

“Perlu ada dalil al-Quran, Hadith Nabi SAW ke? Alaaahhh nak seronok lepas stres(tekanan) sikit pun tak boleh!… Baiklah, apa kata kita seronok apabila sudah sampai masuk syurga. Pasti memang tak stres di sana nanti,” sindirnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati agar jangan ada lagi kapsyen seperti ‘kami sudah ber-panama dance ramai-ramai ni, korang bila pula lagi?’ kerana ia disifatkan cuba mengajak ke arah maksiat meskipun maksudnya cuma bergurau.

“Kita buat benda haram, jangan ajak orang lain sama ya. Buat trend tu biarlah trendyang kita dapat pahala, pahala orang lain pun kita dapat sama, Islam itu mudah tapi jangan bermudah!” kata Fakhrul.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments