Gadis tunggang motor lawan arus sambil mencelah-celah dipenjara sehari

29

 

KUALA LUMPUR 12 Mac – Seorang wanita yang menunggang motosikal secara melulu dan melawan arus di celah-celah kenderaan lain akhirnya dihukum penjara sehari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Hukuman terhadap Siti Mariam Ishak, 22, dijatuhkan oleh Majistret Zilfinaz Abbas selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 10.12 malam, semalam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan lagi selepas Siti Mariam yang bekerja sebagai operator kilang gagal membayar denda yang dikenakan selain lesen memandunya dibatalkan dan hilang kelayakan menunggang selama dua tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan dia hanya bekerja kilang dan menanggung ahli keluarganya namun Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman yang dapat memberikan pengajaran supaya tertuduh insaf atas perbuatannya.

Mengikut fakta kes, wanita itu ditahan di bahu jalan sebelah kiri Jalan Esfahan berhampiran Bank CIMB Bhd. selepas saksi anggota penguatkuasa yang melakukan operasi ternampak aksi Siti Mariam dan telah merakam video motosikalnya. Dia dipercayai cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

Siti Mariam telah menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, nombor pendaftaran KDU 9758 secara melulu dan berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments