Gadis 19 tahun cantik hilang dari rumah di Kluang

76


KLUANG: Seorang gadis berusia 19 tahun didapati hilang dari rumahnya di Taman Sri Kluang dekat sini, sejak semalam.

Kehilangan Nor Balqis Qurattu Aini disedari ibu bapanya, Zamri Jusoh, 42, dan Rosliza Hussin, 45, ketika pulang ke rumah selepas membeli keperluan harian, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Zamri berkata, pemeriksaan di dalam bilik tidur mendapati tiga pasang pakaian anaknya itu tiada di dalam almari.

“Usaha mengesan dengan menghubungi saudara dan rakan-rakannya juga gagal. Kami sekeluarga kini buntu kerana tidak tahu ke mana dia menghilangkan diri.

“Yang menjadi tanda tanya ialah dengan siapa dia menghilangkan diri kerana tidak pernah dilihat bersama teman lelaki atau wanita rapat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan kehilangan anaknya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini, hari ini.

Zamri berkata, Nor Balqis Qurattu Aini pernah bekerja di sebuah pusat beli-belah di sini, namun berhenti dan sedang menunggu untuk melanjutkan pelajaran ke sebuah kolej.

“Semenjak menghilangkan diri semalam, kami gagal menghubungi telefon bimbitnya. Keadaan ini membimbangkan kami sekeluarga,” katanya.

Zamri mendakwa anaknya itu tidak berselisih faham dengan keluarga dan tiada menunjukkan sebarang perubahan sebelum hilang.

Beliau berharap Nor Balqis Qurattu Aini pulang semula ke rumah kerana mereka sekeluarga bimbang akan keselamatannya.

Katanya, orang ramai yang mengenali atau terjumpa gadis itu boleh menghubungi beliau melalui talian 018-786 3199 atau melaporkannya di balai polis berhampiran.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments