Air mata Ziana iringi Puncak Kasih

    36

    KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ziana Zain, tidak mampu menahan air mata ketika mendendangkan lagu Puncak Kasih di sebuah hotel, di sini malam tadi.

    Suasana pada majlis berkenaan bertukar sebak apabila ibu kepada empat cahaya mata itu dikatakan tidak mampu meneruskan persembahan walaupun muzik latar sedang berkumandang.

    Menerusi video yang dikongsi netizen, beliau dilihat hanya sempat menyampaikan baris terawal lagu yang diterbitkan pada 1997 itu sebelum terdiam dan kelihatan cuba menahan gelodak rasa.

    Beberapa kali juga Ziana, yang hanya berdiri sambil memegang mikrofon, cuba mencari rentak, namun tetap tewas hingga sukar untuk meneruskan nyanyian.

    Dalam keadaan itu, tetamu yang memenuhi dewan utama berkenaan enggan membenarkan beliau larut dalam emosi apabila sama-sama membantunya menyanyikan lagu berkenaan.

    Dari ruang dewan juga sesekali kedengaran sorakan dan nyanyian penonton, sekali gus menjadi pembakar semangat supaya penyanyi kesayangan ramai itu terus bertahan.

    Sebelum beraksi di pentas berkenaan, Ziana yang anggun mengenakan persalinan serba hitam sempat berkongsi perasaannya kepada khalayak.

    “I’m strong (saya kuat). Sebagai selebriti pelbagai perkara boleh berlaku. Tapi kena ‘move on’ (teruskan hidup) dan teruskan kerjaya,” katanya.

    Sejak beberapa hari lalu, isu suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, yang berdepan dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap anak mereka menjadi tajuk utama berita.

    Bekas ketua pramugara, yang mendirikan rumah tangga dengan Ziana hampir 20 tahun lalu, itu mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pada 6 Mac lalu.

    Dua hari kemudian, Armin sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pindaan mencederakan anaknya, 24 Februari lalu.

    Laporan polis dibuat sendiri oleh Ziana pada 27 Februari lalu sebelum Armin ditahan tiga hari kemudian.

    Sementara itu, adik yang juga pengurus penyanyi terbabit, Alin, ketika dihubungi BH Online memaklumkan, Ziana enggan memberikan sebarang komen berkaitan kegagalannya menahan perasaan ketika mengadakan persembahan, malam tadi.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments