800 lot parkir pangsapuri di Ampang dibolot, dakwa dalangnya Ayahanda

50

 

Ampang: “Sudah belasan tahun kami terasa hati dengan tindakan mereka yang bertindak samseng dan membolot sebahagian besar kawasan parkir milik penduduk sedangkan kami bayar yuran penyelenggaraan dan patut dapat kemudahan.

“Penduduk juga penat dengan perangai mereka. Bila ditegur, kita pula yang dimarahnya. Ada juga kes mereka sengaja langgar palang keselamatan dan masuk ke kawasan perumahan tanpa kebenaran pengawal,” kata Ketua Biro Keselamatan dan Hal Ehwal Penduduk Pangsapuri Sri Baiduri, Taman Ukay Perdana Bobby Ebrahim, 52.

Menurutnya, separuh daripada 1,600 lot parkir kenderaan di kawasan itu kini menjadi tempat letak kenderaan perdagangan dipercayai ada kaitan dengan individu bergelar Ayahanda palsu dan berlarutan hampir 15 tahun lalu, sekali gus memaksa penduduk membuat bantahan menerusi satu petisyen, baru-baru ini.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan pengurusan kawalan keselamatan di pangsapuri terbabit empat kali bertukar kerana tidak tahan dengan tindakan beberapa individu yang enggan bekerjasama biarpun dimaklumkan cara baik.

“Mereka ini memonopoli lot parkir yang sebenarnya hak penduduk. Kami ada 800 unit parkir, sepatutnya ruang yang ada 1,600 unit parkir. Tetapi hari ini, kami cuma ada tidak sampai 1,000 unit parkir, yang lain jadi tempat parkir pelbagai kenderaan perdagangan yang ada kaitan dengan kumpulan tertentu.

“Kami tidak tahan lagi. Setiap kali ditegur, kami pasti berselisih faham, kami cuma mahu hak kami, itu saja. Sebagai wakil penduduk, saya juga sudah buat laporan polis supaya isu ini tidak lagi timbul,” katanya.

Bobby berkata, jumlah mereka berlagak ala samseng ini juga ramai menyebabkan penduduk bimbang dengan keselamatan masing-masing dan meletakkan kenderaan mereka jauh dari lot parkir berhampiran rumah.

Katanya, pernah beberapa kali berlaku pergaduhan di pangsapuri itu apabila orang ramai dari luar kawasan berkenaan bertindak samseng dan membuat bising sehingga mengganggu ketenteraman penduduk.

“Mereka selalu bawa rakan dari luar. Penduduk mengadu dan saya juga buat laporan polis kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini di kawasan perumahan ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias mengesahkan menerima beberapa laporan termasuk aduan persatuan penduduk kawasan berkenaan berhubung kes terbabit.

“Siasatan lanjut dilakukan berhubung laporan berkenaan,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments